ALOHA KKLK

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA

Selamat datang ke blog Aloha KKLK.

Untuk makluman para pengunjung, maklumat yang dipaparkan adalah untuk kegunaan para pelajar, kakitangan dan masyarakat setempat.

Para pengunjung juga digalakkan menyumbang sebarang artikel yang dapat memberikan manfaat kepada semua.

Jika anda berminat untuk menyumbang sebarang artikel,

sila email artikel anda di
info.kklk@yahoo.com

Thursday, March 11, 2010

Politeknik Premier

Oleh Norliza Abdullah
lizz@bharian.com.my

PSA bersedia ke arah penubuhan universiti pada 2015
PENGIKTIRAFAN Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) sebagai Politeknik Premier mencerminkan kesungguhan warga kerjanya dalam memberikan perkhidmatan pendidikan terbaik bagi menyokong usaha negara melahirkan modal insan bertaraf global.

Pengarahnya, Asmara Sulung, berkata pengiktirafan juga adalah penghargaan tertinggi Kementerian Pengajian Tinggi kepada pihak pengurusan yang serius menjaga dan mengawal kualiti pendidikan.

Beliau berkata, pemilihan PSA sejajar dengan komitmen semua pihak yang sentiasa optimis memastikan setiap aktiviti yang ditawarkan memberi kesan kepada pembangunan akademik dan kemahiran insaniah pelajar.

“Menerusi penawaran pengajian peringkat diploma lanjutan berinovasi, kami menawarkan program lebih praktikal dengan mengambil kira pembabitan industri dalam menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran menyeluruh.

“Usaha kementerian mengklasifikasikan kedudukan institusi ini di tempat yang sewajarnya bertepatan dengan usaha menjadikan negara sebagai hub pendidikan tinggi serantau,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, kelmarin.

Asmara berkata, kaedah pengajaran dan pembelajaran berasaskan Work Based Learning (WBL) di PSA menawarkan nilai ditambah kepada pelajarnya. Sepanjang tempoh pengajian, pelajar didedahkan dengan persekitaran pekerjaan sebenar menerusi kerjasama pintar politeknik dan industri.

Pengiktirafan itu kata beliau, mewujudkan satu peralihan positif dalam sistem pendidikan peringkat politeknik sebagai institusi pengajian tinggi pilihan lepasan sekolah setanding institusi pengajian tinggi awam lain.

Menerusi transformasi berkenaan, PSA katanya, menawarkan program diploma dan ke atas selain menyediakan kurikulum yang memberi penekanan kepada konsep `hand on’ atau WBL.

“Program pendidikan lebih praktikal ini turut menerapkan nilai kemahiran insaniah seperti komunikasi secara berkesan, kebolehan menyelesai masalah dan kualiti kepimpinan.

“Pelajar dilengkapi kemahiran tambahan bagi memenuhi keperluan industri antaranya ditawarkan program pengetahuan pengendalian komputer bagi pengurusan korporat dan perniagaan antaranya Universal Business Software, Inventor dan Autocad,” katanya.

Sebagai usaha memperkasakan pendidikan, Asmara berkata, pihaknya akan melaksanakan Pelan Strategik bagi membolehkannya fokus dalam merealisasikan agenda transformasi politeknik dengan mengguna pakai Kerangka Konsep Politeknik Premier.

Kerangka itu katanya, merangkumi lima fokus yang dibangunkan secara holistik iaitu membabitkan pembangunan pelajar, staf, program pendidikan, struktur dan industri. Pembangunan ini sejajar dengan perancangan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara.

“Dokumen Pelan Strategik Politeknik Premier juga antara agensi transformasi terancang bagi merealisasikan matlamat melahirkan modal insan kelas pertama dan menjadikan PSA sebagai politeknik pilihan utama.

“Selain itu, barisan graduan PSA dilengkapi kemahiran keusahawan yang membolehkan mereka menjana ekonomi menerusi aktiviti perniagaan dan perusahaan berasakan pengetahuan,” katanya.

Mengulas persediaan PSA ke arah penubuhan universiti politeknik menjelang 2015, Asmara berkata, pihaknya akan meningkatkan tahap akademik tenaga pengajar di peringkat sarjana dan ijazah doktor falsafah di institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara.

“Kami juga akan menjalin kerjasama dengan universiti terkemuka dunia selain meningkatkan pembabitan pensyarah luar dalam proses bertukar pengetahuan, pengalaman dan kepakaran. Usaha diteruskan dengan mempergiatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan serta inovasi,” katanya.

Sumber
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Thursday/Pendidikan/20100304072926/Article/

No comments:

Post a Comment