PUTRAJAYA, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan masih memerlukan sumbangan sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam penyediaan biasiswa pendidikan untuk membantu meningkatkan kualiti modal insan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata walaupun kerajaan ada menyediakan biasiswa dan bantuan kewangan tetapi ia tidak mencukupi kerana bilangan yang masih memerlukan bantuan pendidikan amat besar terutama mereka yang kurang berkemampuan.
"Jadi kerajaan amat mengalu-alukan sumbangan sektor swasta, NGO dan syarikat yang berkemampuan untuk membantu negara meningkatkan dan melahirkan anak-anak Malaysia yang terpelajar terutamanya dalam bidang sains dan teknologi," katanya pada majlis pelancaran Biasiswa Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) dan Utusan Malaysia di sini Rabu.
Beliau berkata inisiatif seperti itu perlu diteruskan dan gabungan antara YPC dan Utusan Malaysia sesuatu yang amat baik kerana pelajar berbilang kaum akan mendapat faedah yang bersandarkan kepada Gagasan 1Malaysia.
"Saya berharap pelajar yang terpilih mengambil peluang itu dengan sebaik mungkin dan selepas ambil sijil dan diploma mereka akan berpeluang pula untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi," katanya.
Projek biasiswa YPC-Utusan itu akan memberi peluang kepada 200 pelajar kurang berkemampuan yang memperoleh sekurang-kurangnya lima kredit dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009.
Pelajar terpilih akan mendapat biasiswa bernilai RM5,000 setahun untuk mengikuti kursus Foundation in Business dan Teknologi Maklumat selama setahun.
Pada sidang media kemudiannya, Pengerusi YPC Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata borang permohonan untuk biasiswa itu boleh didapati menerusi akhbar Utusan Malaysia mulai bulan ini.
"YPC memperuntukkan sejumlah RM1 juta untuk biasiswa itu dan akan diberikan untuk pelajar yang memilih untuk melanjutkan pelajaran di Kolej YPC sahaja," katanya.
YPC sejak ditubuhkan sepuluh tahun lepas telah menyediakan bantuan pendidikan pelbagai bentuk berjumlah hampir RM7 juta.
Sumber
http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=479377
No comments:
Post a Comment