GAMBAR Juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana
Menteri 2010 menjadi hiasan halaman 1 Utusan Malaysia Sabtu 6 Mac lalu.
Di halaman 2 pula, disiarkan tajuk besar petikan ucapan Datuk Seri Najib
Tun Razak supaya bahasa Melayu dimartabatkan dan diketengahkan ke
peringkat dunia.
Tidak cukup dengan dua halaman itu, di halaman 3 juga turut dimuatkan
gambar dan laporan PABM hampir satu muka penuh. Terima kasih Utusan
Malaysia kerana sokongan dan usaha berterusan mendaulatkan bahasa
Melayu.
Ibarat ‘perahu sudah di air, dan dayung sudah di tangan’. Apa lagi
agaknya yang ditunggu oleh rakyat Malaysia yang masih sangsi akan
kemampuan bahasa Melayu dan dasar pragmatik kerajaan membawa bahasa
Melayu mengharungi arus globalisasi.
PABM edisi keempat menghimpunkan 56 peserta dari 51 negara mulai 2
Mac lalu. Jika menyebut nama negara-negara seperti Belanda dan Australia
mungkin tidaklah begitu mengejutkan dari segi kebolehan dan minat
mereka mempelajari bahasa Melayu.
Tetapi apabila dibariskan para peserta dari negara-negara seperti
Amerika Syarikat, Itali, Bulgaria, Poland, Slovakia, Ukraine, Belarus,
Turki, Jepun, Korea dan beberapa yang lain, tidakkah itu boleh
mencetuskan kecemburuan dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak endah
untuk menguasai bahasa kebangsaan sendiri?
Mengapakah masih ada rakyat Malaysia yang tidak yakin dengan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mampu menjadi bahasa antarabangsa? Selama dua minggu pertama bulan Mac ini, para peserta pidato dari negara-negara tersebut berkampung di Malaysia sambil memperlihatkan kebolehan mereka berbahasa Melayu. Mereka mempelajari bahasa itu di negara kelahiran mereka bukannya di sini.
Lebih jauh lagi, ada juga dalam kalangan peserta edisi terdahulu yang
berusaha untuk mendalami ilmu berbahasa Melayu dengan menyambung
pengajian di negara ini seperti yang dilakukan oleh Juara PABM 2007 dari
Rusia, Olga Vasilevskaya.
Isu dan cabaran sebenar dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu
sebagai bahasa kebangsaan adalah sikap rakyat Malaysia sendiri.
Alasan lain seperti tuntutan globalisasi hanyalah menjadi ‘kambing
hitam’ sahaja untuk menutup kelemahan dan sikap tidak peduli diri
sendiri terhadap bahasa itu. Jika mahu seribu daya, jika tidak, seribu
dalih.
Bersusah payah rakyat asing yang secara tradisinya tidak ada kena
mengena dengan sosiobudaya, sosioekonomi atau sosiopolitik dengan kita
mempelajari bahasa Melayu, tetapi ada sebahagian rakyat kita yang asyik
tersasul apabila berbahasa Melayu. Ramai lagi yang masih malu
menggunakannya kerana terasa kekampungan dan tidak canggih.
Lebih menghairankan lagi ada sekelompok masyarakat yang berusaha
untuk memartabatkan bahasa asal nenek moyang mereka walaupun dalam masa
yang sama berjuang menuntut kesamaan taraf dengan masyarakat keturunan
pribumi. Tidakkah mereka berasa malu?
Sekali lagi ditegaskan bahawa ini adalah krisis sikap. Salah satu
cara mengubahnya ialah melalui kepemimpinan melalui teladan. Para
pemimpin wajib menunjukkan contoh dan sikap yang betul jika mereka
ikhlas menyahut saranan Perdana Menteri itu.
Biasa-biasakanlah berbual dengan Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim,
Datuk Seri Ong Tee Kiat, Datuk Seri Chua Soi Lek atau dengan Datuk Seri
Liow Tiong Lai.
Rakyat pula perlu menjadikan para pemimpin tersebut sebagai idola
jika benar-benar ingin berbahasa Melayu dengan fasih dan berkeyakinan
tinggi. Mereka sudah menjelajah dunia, tetapi tetap berpegang kepada
falsafah ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Pekerja asing
dari Bangladesh juga sudah menghayati falsafah ini!
Marilah sama-sama kita layari lautan globalisasi dalam bahtera
1Malaysia dengan membawa bersama bahasa kebangsaan kita. Jangan sampai
nanti, tatkala singgah di mana-mana pelabuhan antarabangsa, kita disapa
dalam bahasa Melayu sedangkan kita sendiri terkial-kial menyahutnya.
Sumber
No comments:
Post a Comment