KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Masyarakat diingatkan supaya tidak terlalu cenderung menatap komputer sehingga mengetepikan tabii membaca buku.
Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata adalah berbahaya jika rakyat terlalu cenderung kepada komputer kerana ia boleh mengganggu proses pembelajaran, khususnya bagi generasi muda yang merupakan sandaran untuk membawa negara ke tahap negara maju menjelang 2020.
"Kecenderungan menatap komputer perlu diseimbangkan dengan kecenderungan membaca supaya kita tidak menjadi abdi kepada komputer dan tidak membaca...ini berbahaya kepada pembelajaran. Kecenderungan seperti ini (menggunakan komputer) sudah dilaporkan di beberapa negara," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Mari Membaca 1Malaysia anjuran Perpustakaan Negara di sini, Selasa.
Rais merumuskan kecenderungan terhadap komputer merupakan saingan utama kepada tabii membaca, oleh itu kempen-kempen membaca perlu dilaksanakan secara berterusan untuk menarik minat dan kesedaran umum kepada pentingnya budaya membaca.
Bagaimanapun, katanya kementerian tidak menghalang aspek pengajaran dan pembelajaran menggunakan komputer seperti yang diterapkan di sekolah-sekolah masa kini kerana beranggapan ia boleh diseimbangkan jika tabii membaca sudah ditanam di dalam diri pelajar.
"Ini soal tabii...mungkin kalau tiga jam dia menatap komputer, mungkin boleh diperuntukkan dua atau satu jam untuk membaca buku, jadikan ini sikap kedua kita," katanya.
Ditanya mengenai kewujudan kelab-kelab buku secara dalam talian yang diwujudkan oleh individu-individu tertentu, Rais berkata langkah itu perlu disokong 100 peratus.
Malah beliau turut menyarankan agar naskah-naskah tempatan, termasuk buku-buku klasik dimuat turun dalam internet bagi memudahkan masyarakat untuk menelaah naskah-nashkah berkenaan selain menimbulkan minat membaca.
Terdahulu dalam ucapannya, Rais berkata kecenderungan membaca di kalangan rakyat negara ini sudah bertambah baik di mana secara purata sejumlah lapan hingga 12 buah buku dibaca oleh rakyat Malaysia setahun, berbanding hanya dua buku setahun berdasarkan rekod empat tahun lepas.
Rekod Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan jumlah pengunjung perpustakaan di seluruh negara yang berjumlah 2,429 buah turut menunjukkan peningkatan memberangsangkan dengan sejumlah kira-kira 38 juta pengunjung sepanjang 2008.
Jumlah peminjaman buku di perpustakaan seluruh negara turut menunjukkan trend menaik iaitu daripada 12,613,344 pinjaman yang dibuat pada 2007 kepada 19,551,957 pada 2008.
Begitu juga statistik penjualan buku dan penyertaan penggiat serta pengusaha kedai buku dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) bagi tempoh tiga tahun (2007-2009) juga mencatatkan petunjuk positif.
Pada 2007 PBAKL hanya melibatkan sejumlah 455 gerai jualan dan jumlah jualan RM16 juta, angka itu terus meningkat pada 2008 dengan 652 kedai dan nilai jualan berjumlah RM22 juta dan sejumlah 758 dengan nilai jualan RM27 juta pada 2009.
"Ini jelas menunjukkan minat membaca rakyat Malaysia mulai tersemai dan akan menjadi budaya pada suatu hari nanti," kata Rais.
Rais berkata kesedaran ibu bapa dan masyarakat yang berada di bandar mahupun luar bandar mengenai kepentingan membaca bagi menambah ilmu juga dilihat telah meningkat berdasarkan penyertaan dan sambutan yang menggalakkan terhadap aktiviti program membaca.
Menurut statistik PNM, setiap tahun tidak kurang daripada 8,000 aktiviti dan program membaca telah dilaksanakan dan jumlah penyertaan masyarakat telah meningkat daripada kira-kira 1.5 juta pada 2006 kepada 1.7 juta pada 2008.
Rais berkata untuk lebih menarik minat umum kepada budaya membaca, kementerian juga akan melibatkan beberapa ikon antaranya bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan angkasawan negara Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha dalam kempen-kempen membaca yang dianjurkan.
Sumber
No comments:
Post a Comment