ALOHA KKLK

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA

Selamat datang ke blog Aloha KKLK.

Untuk makluman para pengunjung, maklumat yang dipaparkan adalah untuk kegunaan para pelajar, kakitangan dan masyarakat setempat.

Para pengunjung juga digalakkan menyumbang sebarang artikel yang dapat memberikan manfaat kepada semua.

Jika anda berminat untuk menyumbang sebarang artikel,

sila email artikel anda di
info.kklk@yahoo.com

Thursday, March 11, 2010

IPTA dibenar laksana pengajian secara online

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) boleh menawarkan program pengajian masing-masing ke peringkat antarabangsa melalui online serta francais.

Malah, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, IPTA digalak menawarkan pengajian ijazah pertama melalui online kepada penuntut antarabangsa melalui saluran Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dan Asia e University (AeU).

Katanya, dasar sedia ada menetapkan jumlah pengambilan pelajar asing untuk program peringkat ijazah pertama dalam kampus IPTA terhad kepada kuota sebanyak lima peratus saja.

Justeru dengan penawaran program melalui online, IPTA dapat mempertingkat pengambilan pelajar asing dalam pengajian ijazah pertama tanpa menjejaskan peruntukan tempat kemasukan yang disediakan bagi mahasiswa tempatan, katanya.

“Pelaksanaan pengajian online ini secara langsung menjadi satu kaedah untuk IPTA meningkatkan sumber pendapatan.

“Ini adalah pendekatan inovatif yang diusahakan. Dalam konteks ini, setiap universiti harus bekerjasama walaupun mengamalkan persaingan secara sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancar dan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) program perantis antara Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI), Institut Jerman Malaysia (GMI) serta UTI Worldwide Malaysia Sdn Bhd di sini, semalam.

Sementara itu, Khaled berkata, Kementerian Pengajian Tinggi dan kolej komuniti sedang bekerjasama dengan pihak industri untuk menyediakan latihan melalui program perantis kepada belia yang ‘tercicir’ daripada melanjutkan pelajaran selepas tamat persekolahan.

Melalui kaedah itu katanya, belia berkenaan dapat menimba pengalaman menjalani latihan kemahiran secara langsung dalam bidang industri walaupun tidak memasuki pendidikan formal, sekali gus dapat menyumbang ke arah penjanaan pekerja berpengetahuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) dalam bidang pengajian tinggi melalui pelancaran EU-Malaysia Link, akhir bulan ini, yang membolehkan ahli akademik dan IPT di negara ini memanfaatkan pelbagai peluang disediakan oleh EU dalam sektor berkenaan, termasuk geran penyelidikan.

Sumber
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20100304235003/Article/

No comments:

Post a Comment