ALOHA KKLK

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA

Selamat datang ke blog Aloha KKLK.

Untuk makluman para pengunjung, maklumat yang dipaparkan adalah untuk kegunaan para pelajar, kakitangan dan masyarakat setempat.

Para pengunjung juga digalakkan menyumbang sebarang artikel yang dapat memberikan manfaat kepada semua.

Jika anda berminat untuk menyumbang sebarang artikel,

sila email artikel anda di
info.kklk@yahoo.com

Sunday, March 7, 2010

Lima punca siswazah gagal dapat kerja

KUALA TERENGGANU 28 Feb. - Kurang latihan industri, kemahiran komunikasi dan penguasaan bahasa Inggeris yang lemah, tidak mahir menyelesaikan masalah, suka bertukar tempat kerja dan kurang keyakinan diri.

Itu adalah lima punca yang menyebabkan ramai siswazah tempatan gagal mendapat pekerjaan sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian di universiti.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Kementerian Pengajian Tinggi, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Ramlan berkata, kelemahan dan kekurangan siswazah itu menyebabkan mereka gagal meyakinkan para majikan untuk mengambil mereka bekerja.

Katanya, sikap siswazah yang terlalu memilih pekerjaan turut menyebabkan mereka terpaksa menganggur walaupun mempunyai segulung ijazah.

"Kita boleh perhatikan bahawa kebanyakan siswazah pada masa ini gemar memilih pekerjaan dan terlalu statik dengan bidang yang mereka pelajari.

"Ini menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan selain sering terikat dengan tempat kelahiran dan enggan keluar mencari kerja di tempat lain," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Program Etiket Siswa 2010 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Prof. Dr. Yahaya Ibrahim.

Program yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin mendapat sambutan menggalakkan apabila dihadiri oleh lebih 1,000 pelajar universiti itu daripada pelbagai jurusan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Program Etiket Siswa yang dianjurkan universiti itu merupakan satu inisiatif pihak universiti membentuk sahsiah pelajar bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Tambahnya, ia juga mendedahkan pelajar UMT dengan kemahiran insaniah yang dapat meningkatkan potensi mereka.

"Melalui program ini saya harap ia dapat memberi nilai tambah kepada pelajar sebagai persiapan untuk menghadapi dunia luar," jelasnya.

Sumber
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_16.htm


No comments:

Post a Comment