saiful.sahak@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 9 Feb. – Kerajaan akan mengkaji semula skim perkhidmatan gred pensyarah di politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pertimbangan ini dibuat berdasarkan kepada usaha meningkatkan prestasi proses pembelajaran di institusi-institusi berkenaan.
“Kementerian akan mengkaji dan mempertimbangkan semula untuk mencari kaedah bagi menyelesaikan masalah di bawah Skim Gaji Gred DH bagi pensyarah di politeknik dan kolej komuniti.
“Kita sedia maklum, skim perkhidmatan gred antara guru-guru di sekolah dengan skim pensyarah di universiti adalah berbeza,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis pelancaran buku Undang-Undang Jenayah Malaysia di sini hari ini.
Pelancaran buku terbitan MDC Publisher Sdn. Bhd. itu turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Hamzah Abdul Rahman dan Dekan Fakulti Undang-Undang UM, Prof. Dr. Choong Yeow Choy.
Pada 5 Februari lalu, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon kerjasama KPT untuk menyelesaikan masalah kenaikan pangkat melibatkan 8,499 pensyarah di politeknik dan kolej komuniti.
Presidennya, Hashim Adnan berkata, kebanyakan aduan yang diterima daripada pensyarah berkenaan adalah berhubung kesukaran dalam proses kenaikan pangkat kerana terpaksa melalui beberapa penilaian kecemerlangan yang dianggap membebankan.
Kata Hashim, faedah dalam perkhidmatan yang diperolehi pensyarah tersebut lebih rendah berbanding guru-guru yang berkhidmat di bawah Kementerian Pelajaran.
Hashim menambah, kesemua 8,499 pensyarah itu telah berkhidmat di politeknik dan kolej komuniti sebelum kedua-dua institusi itu diambil alih oleh Kementerian Pengajian Tinggi daripada Kementerian Pelajaran pada 2008.
Sementara itu kata Khaled, kementerian berharap NUTP memahami fungsi dan tanggungjawab antara pensyarah dan guru.
“Walaupun NUTP memperjuangkan hal-hal melibatkan guru tetapi ia mungkin berlainan bagi pensyarah.
“Peranan pensyarah bukan sahaja mengajar tetapi bagaimana untuk meningkatkan kualiti pembelajaran melalui kajian dan penyelidikan serta penghasilan buku ilmiah.
“Sementara guru pula memfokuskan kepada sistem pembelajaran kokurikulum berpusat yang telah ditetapkan Kementerian Pelajaran,’’ katanya.
Dalam pada itu, Khaled mencadangkan supaya pensyarah di politeknik dan kolej komuniti di seluruh negara menubuhkan kesatuannya sendiri dalam usaha memperjuangkan isu-isu melibatkan kakitangan berkenaan.
Sumber
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kampus&pg=ka_02.htm
No comments:
Post a Comment