ALOHA KKLK

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA

Selamat datang ke blog Aloha KKLK.

Untuk makluman para pengunjung, maklumat yang dipaparkan adalah untuk kegunaan para pelajar, kakitangan dan masyarakat setempat.

Para pengunjung juga digalakkan menyumbang sebarang artikel yang dapat memberikan manfaat kepada semua.

Jika anda berminat untuk menyumbang sebarang artikel,

sila email artikel anda di
info.kklk@yahoo.com

Friday, February 26, 2010

Tidak perlu bimbang pelantikan ramai wanita - Shahrizat

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) tidak perlu bimbang tentang pelantikan lebih ramai wanita bagi jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam kerana ia akan memberi kesan positif kepada negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, langkah itu merupakan antara tindakan progresif kerajaan bagi mencapai sasaran minimum 30 peratus wanita berada dalam peringkat pembuat keputusan.

" Langkah ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi negara dan kualiti perkhidmatan awam. Mereka turut menyumbang dari segi cukai pendapatan dan kepada keluarga," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Shahrizat berkata, senario itu tidak sepatutnya dilihat sebagai satu kebimbangan.

Katanya, pengambilan penjawat awam wanita itu adalah berasaskan kepada sistem meritokrasi yang menitikberatkan aspek kompetensi dan kelayakan seseorang untuk memegang jawatan dalam kerajaan.
Katanya, pengambilan pegawai baru dalam kerajaan juga adalah berdasarkan kepada prosedur yang tidak mendiskriminasikan mana-mana jantina.

''Prinsip kesaksamaan gender juga tidak mengetepikan hakikat bahawa peranan lelaki dan wanita adalah saling melengkapi antara satu sama lain,'' katanya.

Menurutnya, dasar 30 peratus yang menjadi polisi kerajaan dalam mengambil penjawat awam wanita di peringkat pembuat keputusan itu juga hanyalah kuota minimum.

"Saya juga ingin menegaskan bahawa pengisian sasaran itu adalah berteraskan prinsip kesaksamaan gender.
''Keupayaan seseorang itu tidak dinilai berdasarkan faktor jantina, tetapi mengambil kira kelayakan, keupayaan dan kompetensi mereka untuk menyandang jawatan di peringkat pembuat keputusan," katanya.

Sumber

Cuti bersalin 90 hari: Kempen 1 juta tandatangan NUBE

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) akan melancarkan satu kempen mengutip sejuta tandatangan bagi menyokong cadangan agar pekerja wanita di negara ini diberikan cuti bersalin lebih lama.

Kempen akan bermula pada 8 Mac bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa, kata Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon hari ini.

Kempen itu bertujuan mendesak kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menambah bilangan hari cuti bersalin daripada 60 hari sekarang ini kepada 90 hari, selaras dengan amalan di negara-negara anggota ASEAN yang lain, katanya di sini hari ini.

Solomon berkata, NUBE akan menganjurkan beberapa program semasa kempen itu bagi meningkatkan kesedaran dengan menjemput ahli kesatuan sekerja, wakil Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pertubuhan wanita, pakar perubatan, ahli akademik, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dan media, sepanjang kempen bagi mendapatkan tandatangan itu dapat dicapai.

NUBE percaya pertambahan hari kelayakan cuti bersalin “akan menjadi satu hadiah bermakna kepada kira-kira 5.1 pekerja wanita daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.” – Bernama

Sumber

Transformasi kurikulum sekolah






MUHYIDDIN Yassin melihat R.Mitra melayari laman sesawang MyIdeas pada Majlis Pelancaran MyIdeas@Schools di SK Lenga Pagoh, Muar, Johor, semalam.


MUAR 23 Feb. - Kementerian Pelajaran akan melakukan perubahan dalam kurikulum sekolah bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan tidak hanya berorientasikan peperiksaan.

Untuk itu, aspek penerokaan ilmu akan diberi penekanan dengan lebih banyak tumpuan kepada pelajar dan bilik darjah, bukan lagi dominasi oleh guru.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perubahan yang dilakukan dari semasa ke semasa itu bertujuan menerapkan budaya berfikir yang kreatif dan inovatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

"Proses pembelajaran ini akan lebih mementingkan interaksi di antara murid, guru dan rakan sekelas yang diharapkan dapat membantu percambahan idea yang kreatif dan inovatif.
"Di samping itu, budaya kreativiti dan inovasi juga boleh dipupuk melalui aktiviti kokurikulum seperti bengkel, seminar dan pertandingan," katanya semasa melancarkan program MyIdeas@Schools di Sekolah Kebangsaan Lenga, Pagoh dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili; Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran percaya kunci pemupukan budaya inovasi adalah kurikulum yang seimbang dari aspek penyampaian ilmu dan penjanaan budaya berfikir.
Katanya, kerjasama kementeriannya dengan Yayasan Inovasi Malaysia serta Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bagi menjayakan MyIdeas@Schools adalah inisiatif yang dapat melahirkan masyarakat berilmu pengetahuan dan berkemahiran tinggi.

"Kementerian Pelajaran dengan kerjasama MDeC telah melatih seramai 42 guru dari 21 sekolah bestari luar bandar dalam fasa pertama program ini.

"Latihan ini bertujuan memastikan guru-guru mempunyai kemahiran yang diperlukan bagi membimbing murid-murid menggunakan portal MyIdeas@Schools dan melaksanakan strategi berkesan bagi menggalakkan murid menghasilkan idea yang kreatif dan inovatif," katanya.

Beliau berharap ia akan menjadi landasan menghimpunkan idea-idea inovatif murid-murid supaya dapat diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negara secara berperingkat-peringkat.

"Saya percaya, dalam usaha kita untuk menjadi negara maju, kita perlu memiliki teknologi tempatan yang dihasilkan oleh anak watan. 

"Contoh terbaik ciptaan satelit RazakSAT yang dihasilkan anak tempatan dan kini mengelilingi garisan Khatulistiwa," katanya.

Sumber

NUTP saran kurangkan Ladap

Oleh Noor Azimah Romli
bhnews@bharian.com.my

Kementerian berjimat tetapi guru terpaksa keluar wang sendiri hadiri kursus

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan Kementerian Pelajaran mengurangkan Latihan Dalam Perkhidmatan (Ladap) sebanyak 50 peratus berikutan perbelanjaan yang terpaksa ditanggung sendiri guru apabila menghadiri kursus kerana tiada peruntukan disediakan untuk perbelanjaan makanan dan kos pengangkutan.

Buat masa ini semua guru diwajibkan menghadiri kursus Ladap selama 42 jam atau tujuh hari setahun.


Jika kementerian melaksanakan cadangan terbabit bermakna guru hanya wajib hadiri kursus 21 jam saja dan ini dapat membantu mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung guru pada masa ini.

Presidennya, Hashim Adnan, berkata kementerian sebelum ini melaksanakan dasar penjimatan sehingga terpaksa menyatu perbelanjaan termasuk kursus latihan untuk guru.

"Kementerian sepatutnya mengambil kira semua faktor termasuk kebajikan guru sebelum melaksanakan langkah terbabit.
"Saya sebagai wakil NUTP melahirkan rasa kecewa atas perkembangan ini.

"Selepas kementerian mengumumkan langkah penjimatan terbabit semua pengetua dan guru besar diberi taklimat untuk mengambil langkah penjimatan segera untuk mengurangkan perbelanjaan.

"Kami di pihak guru dikerah menghadiri pelbagai kursus tetapi pada masa sama kami terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk menanggung perbelanjaan sepanjang kursus," katanya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan guru yang menghadiri kursus atau latihan di bawah anjuran Jabatan Pelajaran negeri hanya disediakan nasi bungkus dan air mineral untuk makan tengah hari dan sepotong kuih dengan air teh atau kopi untuk minum pagi dan petang.
Difahamkan, untuk seharian kursus tanpa bermalam, tidak ada langsung peruntukan diberikan berbanding sebelum ini yang mana satu kepala diperuntukkan RM9 sehari.

Hashim , berkata beliau sedih dengan perkembangan itu yang pastinya akan menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran pelajar di sekolah.

"Keadaan ini menyedihkan, sedangkan kursus dihadiri itu untuk menaik taraf profesionalisme di kalangan guru," katanya dihubungi, semalam.

Katanya, Kementerian Pelajaran perlu memandang serius masalah berkenaan dan berharap cadangan terbabit dapat dipertimbangkan oleh kementerian.

"Saya akur perlu ada langkah penjimatan, namun perbelanjaan dalam pendidikan bukan kos tetapi satu pelaburan masa depan.

"Kesan catuan akan dapat dilihat pada 5 hingga 10 tahun akan datang dan sudah tentu membabitkan kualiti pelajar yang akan dilahirkan nanti apabila guru semakin kurang motivasi untuk mengajar serta mendidik," katanya. 

Sumber

Nube kempen kutip sejuta tandatangan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (Nube) akan melancarkan satu kempen mengutip sejuta tandatangan bagi menyokong cadangan agar pekerja wanita di negara ini diberi cuti bersalin lebih lama.

"Kempen yang akan bermula pada 8 Mac ini bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa," kata Setiausaha Agung Nube, J Solomon, semalam.

Beliau berkata, kempen itu bertujuan mendesak kerajaan meminda Akta Pekerjaan 1955 bagi menambah bilangan hari cuti bersalin daripada 60 hari sekarang ini kepada 90 hari, selaras dengan amalan di negara-negara anggota Asean yang lain.

Solomon berkata, Nube akan menganjurkan beberapa program ketika kempen itu bagi meningkatkan kesedaran dengan menjemput ahli kesatuan sekerja, wakil Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), pertubuhan wanita, pakar perubatan, ahli akademik, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan dan media, sepanjang kempen bagi mendapatkan tandatangan itu dapat dicapai.

Nube percaya pertambahan hari kelayakan cuti bersalin akan menjadi satu hadiah bermakna kepada kira-kira 5.1 pekerja wanita daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak." Bernama 

Sumber

NASIONAL NUTP gesa BTN adakan kursus kenegaraan untuk guru

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mahu Biro Tatanegara (BTN) mengadakan segera kursus kenegaraan kepada guru bagi sesi 2010 untuk membolehkan mereka menikmati anjakan gaji.

Ramai guru yang masih belum disahkan jawatan bimbang kerana BTN berkemungkinan tidak mengadakan kursus, sedangkan kursus itu perlu dihadiri bagi pengesahan jawatan.

Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya oleh Kementerian Pelajaran atas alasan peruntukan yang tidak mencukupi.

“Guru-guru tidak berpuas hati dan marah kerana salah satu syarat diwajibkan kerajaan untuk disahkan jawatan adalah wajib menghadiri dan lulus kursus BTN.

“Apabila mereka tidak sah jawatan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu antara satu hingga tiga tahun, mereka tidak boleh membuat pinjaman rumah dan kereta, selain tidak dapat menyambung pelajaran, ini yang membimbangkan mereka,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Lok berkata, pihaknya turut difahamkan, hanya satu kursus BTN untuk kumpulan itu yang diadakan pada tahun lalu sedangkan begitu ramai guru yang layak untuk disahkan jawatan setiap tahun.

“Kita juga sudah rujuk perkara ini kepada BTN tapi mereka hanya minta guru mendaftar terlebih dulu dan tunggu masa untuk dipanggil. Malah, ada guru yang merayu untuk mengikuti kursus itu tapi akhirnya kecewa,” katanya.

“Kita minta pihak berkaitan bertindak supaya masalah ini diselesaikan dengan baik. Kalau dasarnya perlu diadakan, maka ia patut diadakan supaya guru dapat menjalankan tugas tanpa gangguan,” katanya.

Sumber
http://www.bharian.com.my/Thursday/Nasional/20100218005920/Article/

Cadangan tingkatkan tahap latihan SKM sedang dikaji

KLANG 22 Feb. - Kementerian Sumber Manusia sedang meneliti untuk meningkatkan tahap latihan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) supaya setaraf dengan kelulusan ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) daripada institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan menterinya, Datuk Maznah Mazlan berkata, langkah itu wajar berikutan peningkatan permintaan industri terhadap tenaga kerja dalam pelbagai bidang kemahiran yang semakin ketara pada masa ini. 

Melalui usaha tersebut, katanya, pelatih yang mengikuti 6,000 bidang latihan di bawah SKM berpeluang memperoleh kemahiran di peringkat yang lebih tinggi berbanding latihan sekarang yang bertaraf diploma di IPT.

"Kita mahu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam pelbagai bidang.

"Oleh itu pihak kementerian dan Jabatan Tenaga Kerja sedang meneliti daripada pelbagai aspek bagi membolehkan tahap pengajian SKM ditingkatkan ke taraf diploma lanjutan sehingga ke peringkat PhD," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kepada 80 peserta Program Jarum Emas Modal Insan Fasa 1 anjuran Pertubuhan Pembangunan Keluarga dan Wanita (PPKW) di pusat latihan jahitan di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi PPKW, Jani Wahab serta Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kapar, Norliza Ahmad.
Menurut Maznah, bagi tujuan berkenaan pihaknya turut mengkaji untuk meminda Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006.

Katanya, ia supaya usaha menaik taraf SKM dapat dilaksanakan sebelum perkara itu dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan.

"Ia termasuk mengkaji dari segi kemudahan, peralatan pembelajaran serta tenaga pengajar yang benar-benar berkelayakan.
"Malah, usaha menaik taraf tahap pengajian ini akan melibatkan kesemua 6,000 bidang di bawah SKM yang ditawarkan ketika ini," katanya.

Beliau berharap langkah menaik taraf SKM dapat menukar persepsi masyarakat yang memandang rendah bidang kemahiran berbanding akademik walaupun ia sebenarnya penting bagi memacu pertumbuhan negara pada masa depan.

Ini kerana, jelasnya, bidang kemahiran bukan hanya boleh dipraktikkan dalam sektor industri, malah ia boleh menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada individu yang menguasainya.

Sumber